" />

Home / Media / News Articles / Penerbit buku perlu kreatif cari pasaran- (Bual Sastera- Berita Harian)

Penerbit buku perlu kreatif cari pasaran- (Bual Sastera- Berita Harian)

Penerbit buku perlu kreatif cari pasaran- (Bual Sastera- Berita Harian)

Penerbit buku perlu kreatif cari pasaran

Petikan berita: 2 Januari 2017
Akhbar: Berita Harian m/s 73

” Cabaran besar adalah untuk berfikir bagaimana menerokai pasaran selain pasaran tradisional mereka kini. ” Hasri Hasan

kb

PENERBIT BUKU PERLU KREATIF CARI PASARAN
Oleh : Berita Harian (2 Januari 2017)

Tahun 2017 dijangka akan membawa cabran tersendiri kepada pemain industri buku khususnya buku elektronik (e-buku) yang menjadi antara topik bualan, tetapi sejauh mana pemainnya bersedia berdepan dengan cabaran ini? Pengurus Kanan Harta Intelek, Inisiatif Digital, Pnyelidikan dan Konsultansi (HIPP), Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan berkongsi pandangannya dengan Wartawan Sastera & Budaya, Hafizah Iszahanid mengenai jangkaannya terhadap ciri ‘buku masa depan’ dan bagaimana ia akan mengubah buku yang dilihat sebelum ini.

Soalan (S) : Bagaimana Industri Buku Malaysia untuk tahun ini?
Jawapan (J) : Buku di negara ini bakal menghadapi cabaran terbesar pernah dialami sejak zaman kemelesetan ekonomi. Banyak faktor menyumbang dan gambarannya sudah dirasai sejak tahun lalu lagi apabila pasaran runcit (kedai buku) menunjukkan penurunan kira-kira 30 peratus daripada jualan tahun sebelumnya.
Beberapa kategori buku menunjukkan penurunan ketara, iaitu buku umum seperti buku motivasi dan perniagaan dan buku rujukan akademik kerana kitaran sukatan lama yang belum berubah. Novel dan buku agama semakin tepu akibat penerbitan banyak judul hampir serupa merebut pasaran sama. Trend akan mengurangkan kuantiti jualan bagi setiap judul sehingga 50 peratus daripada purata jualan tahun lalu.
Antara pasaran buku ialah pembelian perpustakaan dan tinjauan awal menunjukkan peruntukkan kepada institusi itu semakin berkurangan sejak tiga tahun lalu dan berterusan, selain terpaksa bersaing dengan bajet pembelian buku elektronik. E-buku semakin mendapat tempat kerana tidak memerlukan rak lebih luas, malah harga buku digital relatifnya lebih murah.
Selain kebanjiran buku di pasaran kecil, terdapat fenomena baharu penerbitan sendiri (self publishing) semakin banyak. Ramai penulis yang mempunyai pengikut atau ‘tribe’ sendiri menerbitkan buku mereka, sekaligus memberi kesan kepada penerbit tradisional. Menerbit sendiri tidak mempunyai kos overhead besar dan membolehkan harga diletakkan lebih rendah berbanding penerbit konvensional.
Namun kualiti yang dipersembahkan penulis terbit sendiri juga boleh dipertikaikan akibat kualiti yang dipersembahkan penulis terbit sendiri juga boleh dipertikaikan akibat kualiti editorial dan buku di pasaran yang dikompromi.
Penerbit sedia ada perlu lebih kreatif melangkaui tindakan jangka pendek daripada sekadar melakukan jualan lelong buku. Antaranya adalah dengan membuat penyelidikan pasaran mengenai trend pembaca baharu dan membina ‘tribe’ masing-masing dalam bentuk rakan pembaca.
Mereka juga boleh mengadakan lebih banyak aktiviti membabitkan penulis dan membanyakkan promosi kepada sasaran betul. Mereka perlu menerbit buku terpilih dan dimahukan oleh pembaca, sekaligus bukan sekadar manuskrip yang disogok penulis semata-mata.

S : Mungkinkah masa depan penerbitan buku fizikal akan tenggelam?
J : Buku fizikal tidak akan tenggelam. Hal sama juga berlaku di pasaran luar negara.
Masalah kini ialah gelagat pembaca berubah. Ia bukan berkisar bentuk buku, tetapi mengenai musim genre buku berbeza setiap dua tahun.
Pembaca Malaysia masih membeli buku dalam bentuk fizikal. Peningkatan jualan buku digital sangat sedikit, iaitu kira-kira 2 peratus daripada syer pasaran buku negara. Meskipun penggunaan telefon pintar di Malaysia antara tertinggi di dunia, tetapi tiada korelasi dengan beralihnya minat pembaca kepada buku digital. Pengguna telefon pintar tegar tidak menggunakan telefon untuk membaca buku, tetapi hanya melayari media sosial.
Masalah buku di pasaran ialah musim genre berlainan. Kategori buku yang masuk ke dalam tahunan ada kala berubah mengikut tahun. Setiap penerbit perlu peka dan melihat trend dalam dua tahun ke depan dan bukan sekadar menjadi pengikut. Jika sesebuah novel berjaya di pasaran, ia sebenarnya sudah sampai ke penghujung. Ketika penerbit mahu mula menerbitkan novel dan buku mereka tiba di pasaran, muncul pula trend baharu. Jika lambat, mereka akan ketinggalan.
Pasaran negara kita pernah melihat populariti buku perniagaan dan kemudian novel cinta, sebelum beralih kepada buku agama dan kini muncul buku seram dan misteri. Setiap satunya ada musim popularitinya. Ada penerbit mulai fokus kepada penerbitan buku komik Melayu dan ia memperoleh kelebihan sebagai perintis kepada pasaran baharu dalam kalangan pembaca lelaki remaja.

S : Apa cabaran menanti penerbit buku untuk tahun 2007 ini?
J : Antara cabaran besar adalah untuk berfikir bagaimana meneroka pasaran selain
pasaran tradisional mereka kini. Pertama, mereka perlu memikirkan pasaran Asia
Tenggara. Bagaimana untuk menyediakan judul baharu, sekaligus menawarkan
kandungan yang boleh dijual ke pasaran luar. Penerbit juga mesti kreatif dengan menyelongkar pasaran eksklusif. Ada banyak yang boleh dirancang dengan membuat penerbitan khusus dan bekerjasama dengan dunia korporat.
Kita boleh bayangkan buku mengenai kewangan diterbitkan bersama untuk pelanggan bank atau produk kewangan mereka atau buku kesedaran rasuah dalam bentuk novel, komik dan buku bergambar dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Penerbit juga boleh bekerjasama dengan syarikat penerbangan atau agensi penggembaraan dengan menerbitkan buku yang dapat membantu pelanggan mereka.
Apa kata mencipta buku kesihatan dengan kumpulan hospital swasta sebagai kesedaran kesihatan kepada pelanggan atau mungkin novel ringan untuk pengguna keretapi antarabandar sehinggalah kepada buku informasi sejarah dengan pusat tumpuan pelancong ataupun muzium. Idea sebegini tidak terhad dan potensinya sangat luas.
Kita mahu melihat penerbit mengamalkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan tidak mahu penerbit atau pemilik kandungan mengeluh buku tidak laku untuk dijual dan hanya bersaing sesama sendiri dalam lautan merah yang kecil. Ia hanya akan menjadikan dunia buku Malaysia semakin kecil dan bermasalah.